Sunday, September 5, 2010

Menjelang Hari Raya Aidil Fitri

Asalamualaikum dan salam aidilfitri

       Hari raya aidilfitri datang lagi. Hanya tinggal empat hari lagi seluruh umat Islam akan meraikan hari kemenangan kita setelah berpuasa sebulan. Syawal datang lagi meninggalkan ramadhan yang mulia. Ramadhan bulan untuk beribadat dan syawal bulan untuk beraya. Bermakna kita akan meninggalkan satu pengalaman yang mencatat seribu satu macam kelainan biarpun ibadat puasa tidak pernah lupa menjenguk kita setiap tahun. Puasa pada tahun ini pasti berbeza dengan puasa tahun-tahun lepas, ada suka-duka yang kemudiannya menjadi lipatan sejarah dalam kamus hidup kita.
       Hari raya sinonim dengan kegembiraan. Keseronokan raya semakin dirasai terutama kanak-kanak. Walaupun orang dewasa sibuk membeli-belah untuk hari raya, namun boleh dikatakan kepuasan untuk orang dewasa adalah kejayaan menyempurnakan ibadah puasa sebulan. Ini kerana kita tidak tahu adakah tahun depan kita masih dapat merasai berpuasa. Justeru berakhirnya Ramadhan sewajarnya dirai dan diratapi.
       Kemeriahan dalam sepuluh malam sebelum berakhirnya Ramadhan diserikan lagi dengan malam tujuh likur. Selain sepuluh malam ini,  menuntut kita mempertingkat amalan ibadah , tujuh likur juga harus diraikan. Teringat sewaktu kecil, suasana kampung akan terang benderang dengan cahaya lampu likur yang dipasang oleh setiap rumah.Kanak-kanak bergembira, bermain bunga api, orang-orang perempuan pula sibuk buat kuih bahulu, batang buruk, bangkit  yang kini menjadi sebutan " kuih eksotik " oleh generasi muda sekarang. Dan kini, tujuh likur tidak lagi diraikan. Keriangan itu berlalu pergi bersama kesibukan dan terangnya lampu-lampu neon sepanjang jalan. Generasi muda kini tidak lagi tahu apa itu pelita likur. Terang cahaya bulan pun kini dilitupi oleh kuatnya cahaya lampu KLCC. Suatu pengalaman hidup yang tidak dapat dirasai oleh anak cucu kita, walaupun pengalaman kita diceritakan kepada mereka, namun mereka tidak akan dapat merealisasikan dalam kehidupan .
       Menyambut raya bukan bermakna kita harus berbelanja lebih. Tidak semestinya untuk menyambut raya kita harus menyediakan segala yang baru termasuk pakaian, perabot, kereta, rumah dan sebagainya. Namun, itulah anggapan yang ada dalam sanubari setiap insan yang akan menyambut raya. Harus belanja untuk raya. Berbelanja memang digalakkan di samping dapat menjana ekonomi negara, tetapi bagi yang kurang kemampuan haruslah berpijak di bumi yang nyata dan tahu adakah mereka harus berbelanja atau tidak. Sindrom untuk bergaya apabila balik kampung sangat berbahaya. Kesedaran ini masih berada pada tahap rendah untuk masyarakat kita kerana bagi mereka balik kampung untuk raya mesti bergaya. Tidak kira apapun cara yang penting bergaya. Sebaiknya perkara ini diberi perhatian dan harus kita ingat bahawa hari raya yang paling dituntut ialah bermaaf-maafan sesama kita dan saling kunjung mengunjungi.
      Marilah kita menyambut hari raya aidilfitri tahun ini dengan penuh kesyukuran dan keinsafan betapa kita begitu kerdil di sisi Allah Azzawajala. Itulah kunci bagaimana untuk kita menjadi insan yang serba sederhana dalam hidup ini. Sambutlah hari raya kerana itu memang dituntut dalam Islam tetapi bersederhanalah kerana itulah nikmat menyambut raya. Salam takzim penuh keinsafan untuk semua. Ampun maaf zahir dan batin .
Selamat Hari Raya Aidil Fitri ! Allahuakhbar ! Allahuakbar ! Allahuakhbar


Terima kasih.
        

No comments:

Post a Comment